BAITULMAQDIS/BEIRUT, 2 Oktober - Serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel adalah lebih daripada menghalang provokasi lanjut.
"Tindakan kami selesai melainkan rejim Israel memutuskan untuk mengundang tindakan balas yang lebih lanjut. Dalam senario itu, tindak balas kami akan menjadi lebih kuat dan lebih berkuasa," kata Menteri Luar, Iran, Abbas Araqchi dalam catatan di laman "X" .
Serangan Iran merupakan serangan ketenteraan terbesar yang pernah dihadapi Israel.
Siren kedengaran di seluruh negara haram itu.
Letupan turut menggegarkan Baitulmaqdis dan lembah Sungai Jordan dengan seluruh penduduk diarah berpindah ke tempat perlindungan bom.
Tiada kecederaan dilaporkan di Israel, tetapi seorang lelaki terbunuh di wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Dalam serangan itu, 200 peluru berpandu balistik dilancarkan, termasuk senjata hipersonik yang digunakan buat kali pertama.
Menurut Kor Pengawal Revolusi Iran, 90 peratus peluru berpandu mengenai sasaran.
Iran menyifatkan serangan itu sebagai pertahanan dan semata-mata ditujukan kepada kemudahan tentera Israel.
Agensi berita negara IRNA melaporkan, tiga pangkalan tentera Israel menjadi sasaran.- Reuters