Washington, 2 Oktober- Bilangan kematian akibat Taufan Helene di tenggara Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada sekurang-kurangnya 155 orang.
Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris dijadual akan meninjau kerosakan di Carolina Utara dan Selatan yang merupakan antara negeri paling teruk terjejas.
Carolina Utara mencatatkan 74 kematian diikuti Carolina Selatan (36), Georgia (25), Florida (14) Tennessee (4) dan Virginia (2), manakala ratusan orang masih hilang.
Helene melanda pantai utara Teluk Florida sebagai taufan kategori empat pada Khamis lalu dengan angin mencapai 140 batu sejam.
Walaupun kekuatan taufan berkurang, ia meninggalkan jejak kehancuran sepanjang lebih 500 batu atau kira-kira 804.67 kilometer ke pedalaman.
Biden menegaskan bahawa perubahan iklim mungkin menyumbang kepada intensifikasi ribut serta mengakui kerosakan yang ditinggalkan adalah luar biasa. -AFP