fb fb fb fb fb

Serangan Huthi, Trump dakwa Iran bertanggungjawab

Ribuan orang menyertai protes di Yaman, selepas serangan udara AS yang menyebabkan kematian puluhan orang/ AFP

WASHINGTON, 18 Mac- Presiden Donald Trump memberi amaran akan mengenakan tindakan keras terhadap Iran, sekiranya kumpulan Huthi yang disokong oleh Tehran terus melancarkan serangan di Yaman.

Beliau beranggapan Iran bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang serangan yang dilakukan oleh kumpulan Huthi yang menyasarkan kapal-kapal Amerika Syarikat (AS) dan kapal asing lain di Laut Merah.

“Setiap tembakan yang dilepaskan oleh Huthi akan dianggap, mulai dari sekarang, sebagai tembakan yang dilepaskan dari senjata dan kepimpinan Iran, dan Iran akan bertanggungjawab serta menanggung akibatnya,” kata Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya.

Trump bercakap selepas serangan pertama AS ke Yaman yang membunuh 53 orang dan mencederakan 98 orang pada Sabtu.

Sebagai tindak balas, Huthi mendakwa dua serangan terhadap kapal pengangkut pesawat AS dan mengadakan protes besar-besaran di beberapa bahagian Yaman yang berada di bawah kawalan mereka.

Amerika Syarikat menyerang Huthi kerana serangan berulang kumpulan itu terhadap kapal di Laut Merah, yang memberi tekanan besar kepada laluan perdagangan penting itu.

Huthi berkata serangan tersebut dilancarkan sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza, tempat Israel sedang berperang dengan sokongan AS.

“Sebarang serangan atau pembalasan seterusnya oleh 'Huthi' akan berdepan dengan kekuatan yang besar,” kata Trump juga dalam hantaran tersebut, sambil menambah bahawa Iran telah bermain sebagai 'mangsa yang tidak bersalah' dalam konflik ini.

Jurucakap Pentagon, memaklumkan telah menyerang lebih 30 lokasi Houthi setakat ini dan akan menggunakan kekuatan ketenteraan secara besar-besaran sehingga kumpulan itu menghentikan serangan mereka.-AFP

ROSLINA BINTI DIN