fb fb fb fb fb

Lima lagi terbunuh dalam serangan udara terbaharu Israel di Gaza

Foto REUTERS

KAHERAH, 18 Mac- Serangan udara terbaharu Israel mengorbankan lima lagi warga Palestin di Gaza, sekali gus menunjukkan tiada tanda kemajuan dalam rundingan baharu perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.

Dalam kejadian pertama, tiga lelaki bersaudara maut ketika mangsa sedang mengumpulkan kayu api untuk memasak selepas negara Israel berterusan menyekat kemasukan bahan api, makanan dan barangan perubatan daripada memasuki Gaza selama dua minggu.

Manakala, dalam serangan kedua pula, dua rakyat Palestin terbunuh, melibatkan seorang bapa dan anak lelakinya yang berlindung di salah sebuah sekolah di kem pelarian Bureij berhampiran dengan lokasi serangan sebelumnya.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memberikan alasan bahawa serangan dibuat bagi menghapuskan Hamas yang beroperasi berhampiran pasukan mereka dan cuba memasang bom.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza kendalian Hamas, Ismail Al-Thawabta, berkata 'pelanggaran' perjanjian gencatan senjata oleh Israel boleh menjejaskan semua usaha untuk meredakan ketegangan.

Beliau berkata jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sejak gencatan senjata pada Januari lalu adalah 150 orang.

Tentera Israel sepert kelaziman, berulang kali menuduh rakyat Palestin memasang bom atau mengancam pasukan zionis itu.

Sekatan kemasukan barangan ke Gaza selama 16 hari oleh Israel meningkatkan tekanan ke atas 2.3 juta penduduk Gaza, kebanyakannya telah kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.

Lebih 48,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 112,000 yang lain cedera dalam serangan kejam Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN