KHARTOUM, 14 September - Beberapa lokasi yang menyimpan aset strategik tentera Sudan menjadi sasaran serangan dron dipercayai milik pasukan Rapid Support Forces (RSF).
Menurut penduduk tempatan beberapa siri letupan kedengaran yang turut menggegarkan sekitar 320 kilometer di selatan Khartoum.
Antara yang terjejas termasuk ibu pejabat Divisyen Ke-18 Tentera Sudan serta depot bahan api di tebing barat Sungai Nil, berhampiran bandar Kosti yang dikuasai tentera.
Serangan turut dilaporkan mengenai pangkalan udara dan lapangan terbang Kenana yang terletak di tenggara Kosti, dan stesen jana kuasa Um Dabakir.
Serangan terbaru ini menyusul selepas gelombang serangan dron minggu lalu.
Sejak tentera Sudan merampas semula ibu negara Mac lalu, RSF giat mengoperasikan serangan udara terhadap kawasan yang dikuasai tentera, menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran.
Usaha damai yang digerakkan oleh kuasa luar setakat ini belum membuahkan hasil, malah cadangan damai terbaru oleh Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir turut ditolak oleh kerajaan Sudan yang disokong tentera.