MERIDA, 14 September – 15 orang maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di tenggara Mexico, menjadikannya nahas ketiga dengan korban yang ramai dalam tempoh kurang seminggu.
Menurut Sekretariat Keselamatan Negeri Yucatan, kemalangan berlaku di lebuh raya antara bandar Merida dan Campeche apabila sebuah lori kargo terbabas lalu terbalik sebelum melanggar sebuah kereta dan sebuah trak yang membawa pekerja pembinaan.
Tragedi tersebut menyusul selepas dua insiden lain yang turut mengorbankan ramai nyawa di Mexico minggu ini.
Isnin lalu, 10 maut manakala 41 cedera apabila sebuah kereta api barang melanggar bas dua tingkat di kawasan tengah negara itu.
Dua hari kemudian, sebuah lori tangki yang membawa hampir 50,000 liter gas meletup selepas terbalik di Mexico City.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan terperinci terhadap ketiga-tiga insiden bagi mengenal pasti punca sebenar bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.