fb fb fb fb fb

Provokasi di Laut China Selatan, China beri amaran kepada Filipina

Foto REUTERS

BEIJING, 14 September- Tentera China memberi amaran kepada Filipina terhadap sebarang provokasi oleh negara berkenaan di Laut China Selatan.

Kedua-dua negara telah terlibat dalam pertelingkahan maritim yang berpanjangan di laluan air strategik itu, termasuk pertempuran kerap antara kapal pengawal pantai dengan latihan tentera laut.

Jurucakap Tentera China menegaskan, Filipina mesti segera menghentikan provokasi dan ketegangan yang semakin di Laut China Selatan.

“Kami memberi amaran keras kepada pihak Filipina supaya segera berhenti mencetuskan insiden dan ketegangan yang meningkat di Laut China Selatan, serta berhenti membawa masuk kuasa luar untuk menyokong usaha sedemikian yang dianggap sia-sia.

"Sebarang percubaan untuk mencetuskan masalah atau mengganggu keadaan tidak akan berjaya," katanya.

Majlis Maritim dan Angkatan Tentera Filipina serta kedutaan Filipina di Beijing tidak mahu mengulas berhubung isu berkenaan.

Terdahulu, Komando Indo-Pasifik AS dalam satu kenyataan menyebut bahawa Jepun, Filipina, dan Amerika Syarikat menjalankan latihan maritim bersama di Zon Ekonomi Eksklusif Filipina dari 11 Sep hingga 13 Sep lalu, untuk mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

"AS, bersama sekutu dan rakan kongsi kami, menjunjung hak kebebasan pelayaran dan penerbangan serta penggunaan lain yang sah di laut dan ruang udara antarabangsa, serta menghormati hak maritim di bawah undang-undang antarabangsa," katanya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Jumaat berkata, Amerika Syarikat bersama Filipina, menolak apa yang disifatkannya sebagai "rancangan ketidakstabilan" China untuk sebuah atol yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

China menuntut hampir semua Laut China Selatan - laluan air yang membawa lebih AS$3 trilion perdagangan tahunan - walaupun terdapat tuntutan bertindih oleh Filipina, Brunei, Malaysia dan Vietnam. -REUTERS

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello