fb fb fb fb fb

PM baharu Nepal ikrar hapuskan rasuah, penuhi tuntutan penunjuk perasaan

Sushila Karki -Foto REUTERS

KATHMANDU, 14 September- Pemimpin baharu Nepal, Sushila Karki berikrar untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan dalam menghapuskan gejala rasuah di negara berkenaan.

Ikrar itu dinyatakan beliau ketika memulakan tugas sebagai perdana menteri sementara, selepas demonstrasi besar-besaran oleh golongan belia "Gen Z" bagi menggulingkan kerajaan terdahulu.

"Kita perlu bekerja mengikut pemikiran Gen Z. Apa yang kumpulan ini tuntut ialah pengakhiran rasuah, tadbir urus yang baik dan kesaksamaan ekonomi.

"Anda dan saya perlu berazam untuk melaksanakannya," kata bekas ketua hakim berusia 73 tahun itu dalam komen awam pertamanya sejak memegang jawatan tersebut pada Jumaat lalu.

Karki menambah bahawa dia dan kerajaan sementara tidak akan memegang amanah tersebut lebih daripada enam bulan menjelang pilihan raya dijadualkan pada 5 Mac 2026.

"Kami tidak akan tinggal di sini lebih daripada enam bulan dalam apa jua keadaan, kami akan menyelesaikan tanggungjawab kami dan berikrar untuk diserahkan kepada parlimen dan menteri akan datang," tambahnya.

Parlimen telah dibubarkan dan pilihan raya ditetapkan pada 5 Mac 2026.

Pelantikan Karki dibuat selepas rundingan sengit oleh Ketua Tentera, Jeneral Ashok Raj Sigdel dan Presiden Ram Chandra Paudel, termasuk dengan wakil "Gen Z".

Beribu-ribu aktivis muda telah menggunakan aplikasi Discord untuk menamakan Karki sebagai pemimpin pilihan mereka.

Sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh manakala 191 cedera dalam dua hari protes di Nepal.

Ia adalah pergolakan paling teruk sejak berakhirnya perang saudara selama sedekad dan pemansuhan monarki pada 2008.

Di Nepal, menurut Bank Dunia, satu perlima penduduk berumur 15-24 menganggur, dengan KDNK per kapita hanya berjumlah $1,447. -AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello