KIEV, 28 Ogos - Angka kematian dalam serangan tentera Rusia di ibu negara Ukraine meningkat kepada sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk empat kanak-kanak.
Lebih 38 orang turut cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron pada awal pagi Khamis yang disifatkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, sebagai tindak balas Moscow terhadap usaha diplomatik untuk menamatkan perang.
"Rusia memilih peluru berpandu berbanding meja rundingan dan memilih untuk terus membunuh daripada menamatkan perang" kata Zelenskiy menerusi hantaran di platform X, sambil menyeru sekatan baharu dikenakan ke atas Rusia.
Bedilan selama beberapa jam itu turut merosakkan bangunan di tujuh daerah, termasuk ibu pejabat Misi Kesatuan Eropah (EU) ke Ukraine dan 'British Council', menurut pegawai.
Laporan tentera Ukraine pula menyebut, Rusia menyasarkan 13 lokasi, termasuk kemudahan milik operator sistem penghantaran elektrik Ukraine, Ukrenergo.
Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa serangan mereka menyasarkan kemudahan industri ketenteraan dan pangkalan tentera udara.
Sementara itu, Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko menyifatkan ia sebagai salah satu serangan terbesar ke atas bandar berkenaan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Usaha oleh Kyiv dan sekutunya untuk menamatkan pencerobohan Moscow sejak Februari 2022 masih belum membuahkan hasil, walaupun pertemuan peringkat tinggi telah diadakan antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, serta Rusia. -REUTERS