fb fb fb fb fb

Rusia sambung semula penghantaran minyak ke Hungary, Slovakia

Foto REUTERS

BUDAPEST, 28 Ogos - Penyaluran minyak mentah dari Rusia ke Hungary dan Slovakia melalui saluran paip Druzhba disambung semula, selepas mengalami gangguan yang berpunca daripada serangan Ukraine, minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Ekonomi Slovakia, Denisa Sakova menerusi hantaran di Facebook.

"Saya berharap operasi akan kekal stabil dan tiada lagi serangan terhadap infrastruktur tenaga," kata Sakova.

Sementara itu syarikat minyak Hungary, MOL yang mengendalikan loji penapisan di negara itu dan Slovakia mengesahkan bekalan minyak telah sampai ke kedua-dua negara, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Semalam Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto berkata, penghantaran minyak boleh disambung semula pada Khamis dalam mod ujian dengan jumlah yang lebih rendah daripada biasa.

Slovakia dan Hungary masih mendapatkan sebahagian besar bekalan minyak daripada Rusia dan berhasrat untuk terus berbuat demikian, walaupun Kesatuan Eropah sedang berusaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi dari negara itu.

Penyaluran minyak dari Rusia telah beberapa kali terganggu minggu lalu dan tiada aliran sejak 21 Ogos, selepas Ukraine menyerang stesen pam Unecha. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK