fb fb fb fb fb

16 lagi maut, lebih 1,500 rumah musnah dibedil di Al-Zeitoun

Foto REUTERS

GAZA, 28 Ogos - Sekurang-kurangnya 16 orang lagi terbunuh, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera dalam serangan Israel di selatan Gaza, menurut laporan media tempatan.

Sejak pagi Khamis, rejim Zionis melancarkan beberapa siri serangan udara di timur kejiranan Al-Zeitoun, ketika pembunuhan beramai-ramai dan sekatan berterusan.

Rakaman dari kawasan itu menunjukkan asap tebal di lokasi yang disasarkan, dengan bangunan musnah dan rosak teruk, manakala penduduk dilihat cuba bergerak melalui jalan-jalan yang dipenuhi runtuhan.

Pertahanan Awam Palestin melaporkan pada Rabu bahawa Israel telah memusnahkan lebih daripada 1,500 rumah di kawasan kejiranan Al-Zeitoun, sejak melancarkan operasi darat pada awal bulan ini.

Jurucakap agensi itu, Mahmoud Bassal berkata, tiada bangunan yang masih berdiri di bahagian selatan, selepas Israel meluluskan rancangannya untuk menduduki Gaza pada awal bulan.

"Tentera Israel menggunakan jentera pembinaan bersama robot sarat bahan letupan, meletupkan tujuh lokasi setiap hari, serta menggunakan dron untuk menggugurkan bahan letupan ke atas bumbung rumah," kata Bassal.

Menurut beliau, penggunaan senjata ini telah meningkatkan tahap kemusnahan secara mendadak di kawasan tersebut dan memaksa 80 peratus penduduk Al-Zeitoun berpindah ke kawasan barat atau utara Bandar Gaza.

Kabinet Keselamatan Israel telah meluluskan satu pelan pada 8 Ogos untuk menduduki Bandar Gaza yang melibatkan pemindahan kira-kira sejuta rakyat Palestin ke selatan, mengepung bandar tersebut dan mendudukinya selepas serangan besar-besaran.

Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh hampir 63,000 rakyat Palestin dalam kempen ketenteraan yang menghancurkan Gaza dan menyebabkan wilayah itu menghadapi kebuluran. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK