fb fb fb fb fb

China bantah latihan tentera AS dan sekutu

Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Zhang Xiaogang dalam sidang media di Beijing

BEIJING, 28 Ogos - China menentang latihan ketenteraan bersama yang dilaporkan antara Amerika Syarikat dengan Jepun, serta Filipina dengan Australia.

Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Zhang Xiaogang mendakwa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Jepun secara berterusan telah melanggar batas yang ditetapkan oleh perlembagaan negara itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika ditanya mengenai laporan media Jepun berkenaan latihan ketenteraan bersama antara Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun dengan Kor Marin Amerika yang dijadualkan bulan depan.

Zhang turut membidas latihan ketenteraan bersama antara Angkatan Tentera Filipina dengan Angkatan Pertahanan Australia di wilayah Nueva Ecija di utara Pulau Luzon, semalam.

"Negara-negara tertentu dari luar rantau ini yang bimbang akan kestabilan di Laut China Selatan telah menggalakkan dan menyokong tindakan melulu Filipina, sekali gus menjejaskan kepentingan bersama negara-negara serantau," kata Zhang.

Hubungan antara Filipina dengan Australia semakin mendalam dalam aspek keselamatan ketika kedua-dua negara berusaha untuk mengekang aktiviti China yang didakwa semakin agresif di Laut China Selatan. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK