BANGKOK, 28 Ogos - Mahkamah Perlembagaan Thailand akan menyampaikan keputusannya berhubung kes tuntutan pemecatan Perdana Menteri yang digantung tugas, Paetongtarn Shinawatra pada Jumaat (29 Ogos).
Seramai 36 senator memfailkan petisyen yang mendakwa Paetongtarn melanggar etika sebagai menteri dan tidak jujur berikutan panggilan telefon yang bocor antara beliau dengan Presiden Senat Kemboja, Hun Sen pada Jun lalu.
Panggilan telefon itu yang dibuat selepas pertempuran berdarah di sempadan Thailand-Kemboja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan Paetongtarn yang dianggap mengkompromi kepentingan negara dan integriti ketenteraan.
Rakaman panggilan telefon dengan Hun Sen, seorang tokoh politik veteran dan bekas Perdana Menteri Kemboja yang berpengaruh mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Thailand, serta menyebabkan kerajaan gabungan pimpinan Paetongtarn kini tinggal majoriti tipis.
Sebuah parti utama telah menarik diri daripada gabungan itu dan dijangka mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen, manakala kumpulan penunjuk perasaan pula menuntut agar beliau meletakkan jawatan.
Dalam panggilan telefon pada 15 Jun yang bertujuan meredakan ketegangan di sempadan yang memuncak dengan Kemboja, Paetongtarn, 38, dikatakan tunduk secara simbolik kepada Hun Sen dan mengkritik seorang komander tentera Thailand, tindakan yang dianggap sebagai 'garisan merah' dalam negara yang mana tentera mempunyai pengaruh besar.
Beliau telah memohon maaf dan menyatakan bahawa kenyataannya itu merupakan taktik rundingan. -REUTERS