fb fb fb fb fb

Bantuan makanan Gaza jauh daripada mencukupi

Foto REUTERS

BAITULMAQDIS, 28 Ogos - Lebih banyak bantuan makanan telah sampai ke Gaza, tetapi masih jauh daripada mencukupi untuk mengelakkan kebuluran besar-besaran, kata Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), Cindy McCain.

"Kita berjaya memasukkan lebih sedikit makanan. Kita sedang bergerak ke arah yang betul, tetapi masih belum cukup untuk memastikan orang ramai tidak kekurangan zat makanan dan tidak kebuluran," kata McCain dalam satu temu bual menerusi pautan video dari Baitulmaqdis.

Beliau berkata, WFP kini mampu menghantar kira-kira 100 trak bantuan setiap hari ke Gaza, namun angka ini masih jauh lebih rendah berbanding 600 trak sehari yang memasuki wilayah tersebut semasa tempoh gencatan senjata.

McCain yang melawat Deir al-Balah dan Khan Younis pada minggu ini, termasuk sebuah klinik yang menyokong kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusu menekankan kesukaran berterusan dalam menyampaikan bantuan kepada populasi rentan di kawasan pedalaman Gaza.

"Apa yang saya lihat ialah kanak-kanak dan wanita yang mengalami kekurangan zat makanan yang serius.

"Ia mengukuhkan pandangan saya bahawa kita perlu masuk lebih jauh ke dalam Gaza untuk memastikan mereka mempunyai akses yang konsisten kepada keperluan asas," kata McCain.

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kemasukan makanan dan barangan komersial ke Gaza yang membantu menurunkan harga, kebanyakan penduduk masih tidak mampu untuk membeli makanan.

McCain berharap, WFP akan mendapat akses yang lebih baik ke Gaza selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir pada Rabu (27 Ogos).

Badan pemantau kebuluran global, Integrated Food Security Phase Classification (IPC) dalam laporan yang dikeluarkan pada 22 Ogos lalu menyebut, kira-kira 514,000 orang, iaitu hampir suku daripada populasi Gaza kini berada dalam keadaan kebuluran di Bandar Gaza dan kawasan sekitar. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK