GAZA, 7 Oktober- Serangan Israel di Gaza telah berlangsung selama setahun mengakibatkan banyak kematian, pemusnahan infrastruktur yang teruk dan gelombang perpindahan yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyeru gencatan senjata segera, Israel tetap meneruskan perang selepas kumpulan pembebasan Palestin, Hamas, melakukan serangan mempertahankan tanah air pada 7 Oktober tahun lalu.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad mengumumkan sekurang-kurangnya 41,870 orang telah terkorban dalam perang yang hampir setahun antara Israel dan pejuang Palestin.
Angka kematian itu termasuk 45 korban dalam tempoh 24 jam lalu, menurut kementerian tersebut, yang turut melaporkan 97,166 orang mengalami kecederaan di Gaza.
Serangan Israel juga telah "memindahkan" hampir keseluruhan populasi wilayah itu di tengah-tengah sekatan berterusan sehingga menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Israel secara sistematik menyasarkan kemudahan awam termasuk sekolah, hospital, dan tempat ibadah dalam ofensifnya di Gaza.
Mengikut undang-undang perang antarabangsa, serangan yang menyasarkan kemudahan berkenaan boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Afrika Selatan juga telah memfailkan kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada akhir 2023, menuduh Israel gagal memenuhi komitmennya di bawah Konvensyen Genosid 1948.
Sehubungan itu, pada 26 Januari, ICJ mengarahkan Israel untuk menghentikan semua tindakan pembunuhan, serangan dan pemusnahan terhadap penduduk Gaza serta mengambil semua langkah untuk mencegah genosid.
Keputusan mahkamah yang diumumkan pada 24 Mei turut mengarahkan Israel untuk menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dan memastikan pintu sempadan Rafah dibuka untuk membolehkan penghantaran perkhidmatan dan bantuan kemanusiaan yang mendesak.
Namun, Israel terus melanggar keputusan mahkamah dan menyerang rakyat Palestin. Kegagalan Tel Aviv untuk mematuhi keputusan mahkamah tertinggi organisasi antarabangsa terbesar di dunia itu telah menambah kritikan bahawa sistem antarabangsa adalah tidak berkesan.
Serangan 7 Oktober hancurkan ilusi Israel
Dalam satu mesej video, Khalil al-Hayya, anggota Hamas berpangkalan di Qatar menegaskan serangan pada 7 Oktober tahun lalu telah menghancurkan ilusi Israel tentang keunggulan dan kekuatannya di pentas global.
"Penyeberangan pada 7 Oktober telah menghancurkan ilusi dicipta oleh musuh untuk dirinya sendiri, meyakinkan dunia dan kawasan tentang keunggulan serta kemampuan yang kononnya ada," tegas beliau.
Khalil menyatakan setahun selepas serangan tersebut, "seluruh Palestin, terutama Gaza, sedang menulis sejarah baru dengan ketahanan dan semangat juang rakyat Palestin."
Beliau menegaskan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan penyeksaan, rakyat Gaza tetap tegar dan berani menghadapi segala usaha Israel untuk memindahkan mereka dari tanah air mereka.
Biarpun terdapat usaha gencatan senjata melalui rundingan yang dikendalikan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, Khalil menekankan bahawa Israel terus menghalang usaha tersebut dan menunjukkan keengganannya untuk menghentikan serangan.
"Segala apa yang kami tolak semalam, tidak akan kami terima esok. Apa yang tidak mampu Israel capai dengan kekerasan, tidak akan diperolehnya melalui perundingan," katanya sambil menegaskan Hamas akan terus memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
Mesej video berkenaan dikeluarkan oleh Hamas semalam menjelang setahun perang Israel dan Hamas di Gaza hari ini. -AFP/Reuters