fb fb fb fb fb

Serangan balas di Kashmir: Tentera India, Pakistan bertempur lagi

Foto AFP

NEW DELHI, 26 April – Ketegangan antara India dan Pakistan terus memuncak apabila kedua-dua negara kembali berbalas tembakan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan wilayah Kashmir, menurut kenyataan yang dikeluarkan tentera India hari ini.

Menurut tentera India, beberapa pos tentera Pakistan telah melepaskan tembakan senjata ringan secara “tidak diprovokasi” di seluruh LoC bermula malam semalam hingga awal pagi ini. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.

“Pasukan tentera India bertindak balas sewajarnya dengan tembakan senjata ringan,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Pakistan berhubung insiden terbaharu itu, namun kedua-dua pihak telah mengesahkan insiden tembakan pada malam sebelumnya.

Pertempuran terbaharu itu berlaku ketika hubungan antara dua kuasa nuklear tersebut berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun.

Ketegangan meningkat susulan serangan oleh kumpulan bersenjata pada Selasa lalu yang mengorbankan 26 orang awam di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, serangan paling dahsyat dalam tempoh 25 tahun.

New Delhi menuduh Islamabad mendalangi “keganasan rentas sempadan”, namun Pakistan menafikan sebarang penglibatan dan menyifatkan tuduhan itu sebagai “tidak berasas”.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan menyeru kedua-dua negara agar menunjukkan “tahap kawalan maksimum” bagi mengelakkan konflik lebih besar.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengurangkan kebimbangan terhadap ketegangan tersebut, dengan menyatakan pertikaian itu akan “diselesaikan juga, satu cara atau yang lain”.

Wilayah Kashmir telah dibahagikan antara India dan Pakistan sejak kemerdekaan kedua-dua negara pada tahun 1947, dengan masing-masing menuntut wilayah itu sepenuhnya tetapi hanya mentadbir sebahagiannya sahaja.

Sejak 1989, wilayah Kashmir yang dikawal India menyaksikan pemberontakan bersenjata oleh kumpulan pemisah yang menuntut kemerdekaan atau penggabungan dengan Pakistan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN