LIMA, 26 April β Ahli arkeologi di Peru telah menemui makam purba berusia kira-kira 5,000 tahun yang mengandungi rangka seorang wanita dipercayai daripada golongan atasan peradaban Caral, sekali gus mengukuhkan peranan penting wanita dalam masyarakat tertua di benua Amerika itu.
Penemuan dilakukan di kawasan Aspero, dalam tapak arkeologi Caral yang terletak kira-kira 180 kilometer dari pesisir Pasifik ke utara Lima.
Kawasan berkenaan dahulunya merupakan tapak pelupusan sampah majlis perbandaran.
Menurut ahli arkeologi David Palomino, pengebumian itu menunjukkan ciri-ciri status tinggi berdasarkan kaedah pembungkusan mayat serta pemeliharaan luar biasa ke atas kulit, rambut dan kuku wanita berkenaan.
Beliau dipercayai meninggal dunia pada usia antara 20 hingga 35 tahun.
Mayat wanita itu ditemui bersama balutan kain berhias bulu berwarna biru dan coklat yang dipercayai berasal daripada burung Amazon seperti macaw, serta dikelilingi pelbagai barangan seperti bakul persembahan, pasu, labu air dan paruh burung tukan.
βIni bukti bahawa bukan sahaja lelaki memainkan peranan penting dalam peradaban ini, tetapi ia turut dilengkapi dengan sumbangan wanita,β ujar Palomino kepada agensi Reuters.
Caral diiktiraf sebagai bandar tertua di benua Amerika, sezaman dengan tamadun Mesir, Sumeria dan China purba.
Namun, penyelidik menegaskan ia berkembang secara tersendiri tanpa sebarang pengaruh luar.
Meskipun tarikh tepat pengebumian tidak diketahui, peradaban Caral diyakini aktif sekitar tahun 3,000 Sebelum Masihi.-REUTERS