fb fb fb fb fb

Gempa Ecuador: Lebih 30 orang cedera, ratusan rumah musnah

Keadaan selepas gempa bumi yang melanda bandar Esmeraldas, Ecuador/ AFP

ECUADOR, 25 April- Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud yang menggegarkan bandar pelabuhan Esmeraldas pada Jumaat, menyebabkan lebih 30 orang cedera dan lebih 800 bangunan rosak serta gangguan bekalan elektrik secara meluas.

Perkhidmatan Respons Kecemasan Ecuador melaporkan 32 orang cedera, 179 rumah musnah dan 716 rumah rosak akibat gegaran tersebut, yang dirasai sehingga ibu kota Quito.

Andres Mafare, 36 tahun, seorang nelayan yang sedang menuju ke pelabuhan, mendengar bunyi retakan kuat sebelum gegaran menghayunkan kabel berhampiran.

Dia berlari pulang ke rumah untuk mendapatkan isteri dan dua anak lelakinya.

“Saya berlari seperti orang gila dan apabila saya tiba di sini melihat rumah saya telah musnah,” katanya kepada AFP.

Seorang wartawan di lokasi melaporkan dinding bangunan runtuh, serpihan di atas jalan, dan banyak bangunan mengalami keretakan.

“Ia sangat kuat. Rasa macam seabad, walaupun mungkin tak sampai seminit,” kata Yaku Perez, bekas calon Presiden Ecuador.

Pihak berkuasa berkata empat pusat kesihatan dan 18 sekolah rosak, manakala bangunan tentera sebahagiannya runtuh. Dua jalan dan sebuah jambatan turut rosak.

Menurut laporan rasmi, kira-kira 80 peratus rumah mengalami gangguan bekalan elektrik atau talian telefon.

Sementara itu, Syarikat minyak nasional Petroecuador menggantung sementara operasi di kilang penapisan Esmeraldas dan saluran paip berdekatan.

Presiden Amerika Selatan yang baru dilantik, Daniel Noboa berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menyelaras pembinaan tempat perlindungan dan penyampaian bantuan kemanusiaan.

"Kerajaan bersama anda, dan begitulah caranya ke hadapan," katanya di media sosial.

Kajian Geologi AS melaporkan gempa ini berlaku pada kedalaman 35 kilometer di luar pesisir pantai, dan turut dirasai sehingga ke ibu kota Quito serta 10 wilayah termasuk Manabi, Los Rios, Guayas dan Pichincha.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada ancaman tsunami.

Minggu lalu, Ecuador memperingati ulang tahun gempa bumi 2016 yang melanda Manabi dan Esmeraldas dengan magnitud 7.8 serta mengorbankan 673 orang dan mencederakan lebih 6,300 orang yang lain.- AFP

ROSLINA BINTI DIN