fb fb fb fb fb

Empat orang maut, lebih 500 cedera dalam letupan di pelabuhan selatan Iran

Letupan di Pelabuhan Shahid Rajaee di wilayah Hormozgan, Iran/ AFP

TEHRAN, 26 April- Letupan kuat yang menggegarkan sebuah pelabuhan utama di selatan Iran mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan lebih 500 orang, menurut laporan media rasmi negara itu.

Letupan berlaku di Pelabuhan Shahid Rajaee, pelabuhan perdagangan terbesar di Iran yang terletak di wilayah Hormozgan.

Punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, menurut pejabat kastam di pelabuhan tersebut dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen, insiden dipercayai berpunca daripada kebakaran di kawasan simpanan bahan kimia dan bahan berbahaya (hazmat).

Rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap hitam dari kawasan pelabuhan yang menempatkan banyak kontena, dengan helikopter digunakan bagi usaha memadam kebakaran.

Media negara memetik perkhidmatan kecemasan tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 516 orang cedera serta ratusan orang telah dipindahkan ke pusat perubatan berhampiran.

Ketua Pertubuhan Bantuan dan Penyelamatan Bulan Sabit Merah, Babak Mahmoudi mengesahkan empat kematian direkodkan.

Seorang pegawai pelabuhan wilayah, Esmaeil Malekizadeh berkata bahawa pihak berkuasa sedang berusaha memadam kebakaran di fasiliti berkenaan.

Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.

“Saya telah mengeluarkan arahan untuk menyiasat keadaan dan punca kejadian ini,” katanya sambil mengumumkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Eskandar Momeni, telah dihantar ke lokasi kejadian untuk memantau dan menyiasat insiden.

Pelabuhan Shahid Rajaee terletak lebih 1,000 kilometer di selatan ibu negara Tehran dan merupakan pelabuhan paling maju di Iran.

Pelabuhan itu juga terletak kira-kira 23 kilometer ke barat Bandar Abbas, ibu negeri Hormozgan dan berada di utara Selat Hormuz, merupakan laluan penting yang menyaksikan satu perlima daripada pengeluaran minyak dunia melaluinya.-AFP

ROSLINA BINTI DIN