fb fb fb fb fb

Uganda isytihar wabak Ebola berakhir

Seorang jururawat memberikan suntikan pertama vaksin Ebola Sudan kepada seorang sukarelawan semasa pelancaran kempen ujian vaksinasi Ebola di Hospital Rujukan Mulago di Kampala / Foto AFP

NAIROBI, 26 April- Uganda mengisytiharkan berakhirnya wabak virus Ebola pada hari Sabtu, yang menyebabkan dua kematian di negara Afrika Timur itu sejak penghujung Januari.

Pengumuman itu dibuat 42 hari selepas pesakit terakhir yang disahkan dijangkiti virus tersebut dibenarkan keluar dari hospital.

Wabak ini merupakan kali keenam Uganda terjejas oleh virus maut yang mempunyai enam strain berbeza, tiga daripadanya telah menyebabkan wabak besar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan berkata 14 kes dilaporkan, dengan 12 kes disahkan dan dua lagi kes tidak disahkan melalui ujian makmal.

"Empat kematian dicatatkan, dua disahkan dan dua lagi mungkin disebabkan oleh virus, sementara 10 orang telah sembuh," katanya.

Kes yang disahkan melibatkan strain Sudan Ebola mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang jururawat.

Beberapa puluh orang juga dipantau setelah berhubung dengan pesakit, menurut Agensi Kesihatan Kesatuan Afrika (Africa CDC).

Menurut Kementerian Kesihatan Uganda menerusi platform X, wabak Ebola Sudan, kini telah berakhir.

"Ini berikutan 42 hari tanpa kes baharu sejak pesakit terakhir disahkan keluar pada 14 Mac 2025," kata kementerian itu.

Sementara itu, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memuji Kementerian Kesihatan Uganda atas kepimpinan dan komitmen mereka dalam mengatsi wabak tersebut.

Lebih dari 15,000 orang di Afrika telah meninggal dunia akibat Ebola, melibatkan kesemua enam strain, sepanjang setengah abad lalu.- AFP

ROSLINA BINTI DIN