fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel ragut empat nyawa di Gaza

Foto AFP

GAZA, 26 April- Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menggegarkan kawasan kejiranan Sabra di Bandar Gaza pada awal pagi Sabtu.

Menurut jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, serangan tersebut menyasarkan sebuah rumah dan menyebabkan lebih 30 orang dikhuatiti tertimbus di bawah runtuhan sebuah rumah.

“Kru kami berjaya mengeluarkan empat orang yang terkorban dan lima orang yang cedera susulan serangan tersebut. Pasukan kami tidak dapat sampai kepada mereka yang tertimbus kerana kekurangan jentera yang diperlukan,” katanya.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh tentera Israel berhubung serangan ini. Israel telah menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Hamas di seluruh Gaza sejak lebih sebulan lalu.

Israel seperti biasa menggunakan alasan, operasi ketenteraan itu bertujuan untuk meningkatkan tekanan terhadap Hamas agar membebaskan baki tahanan yang masih hidup.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas, operasi ketenteraan Israel yang disambung semula sejak 18 Mac telah meragut sekurang-kurangnya 2,062 nyawa rakyat Palestin, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat perang di wilayah itu meningkat kepada 51,439 orang.-AFP

 

ROSLINA BINTI DIN