KAHERAH, 26 April- Hamas menyatakan kesediaannya untuk mencapai satu perjanjian bagi menamatkan perang di Gaza, termasuk pembebasan semua tebusan yang masih ditahan secara serentak dan pelaksanaan gencatan senjata selama lima tahun.
“Hamas bersedia untuk pertukaran tahanan dalam satu kelompok dan gencatan senjata selama lima tahun,” kata seorang pegawai kepada AFP, tanpa mendedahkan identitinya.
Delegasi Hamas dijadualkan bertemu para perantara di Kaherah hari ini bagi membincangkan syarat-syarat tersebut.
Hamas menolak cadangan Israel pada 17 April lalu yang mencadangkan gencatan senjata selama 45 hari sebagai pertukaran untuk 10 tebusan yang masih hidup.
Hamas menegaskan bahawa sebarang persetujuan mesti membawa kepada penamatan sepenuhnya perang di Gaza, pengunduran penuh tentera Israel dan pertukaran tahanan secara menyeluruh serta kemasukan bantuan kemanusiaan dengan segera dan mencukupi.
Sementara itu, tentera Israel menuntut pembebasan semua tahanan, peletakan senjata Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza.
Gencatan senjata pada 19 Januari hingga 17 Mac membenarkan pembebasan 33 tahanan kepada Israel, termasuk lapan yang telah meninggal dunia, sebagai pertukaran untuk pembebasan kira-kira 1,800 rakyat Palestin dari penjara Israel.
Sejak tentera Israel meneruskan semula serangan pada 18 Mac, sekurang-kurangnya 2,062 rakyat Palestin terbunuh. Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban di Gaza sejak permulaan perang mencecah 51,439 orang.-AFP