TEHRAN, 26 April– Letupan kuat yang menggegarkan pelabuhan utama di selatan Iran pada Sabtu menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.
Media tempatan melaporkan, agensi berita Tasnim, yang memetik perkhidmatan kecemasan tempatan, melaporkan bahawa setakat ini, seramai 47 mangsa yang cedera akibat letupan di Pelabuhan Shahid Rajaee.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital di wilayah Hormozgan.
Beberapa kontena meletup di pelabuhan Shahid Rajaee, menyebabkan letupan besar serta kebakaran yang mencederakan beberapa individu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Letupan besar itu berlaku di pelabuhan Shahid Rajaee yang terletak di wilayah Hormozgan, di selatan negara itu.
"Letupan berlaku di sebahagian kawasan dermaga Pelabuhan Shahid Rajaee, dan kami sedang memadamkan kebakaran,” kata pegawai pelabuhan wilayah, Esmaeil Malekizadeh, kepada stesen TV tempatan.
Pelabuhan Shahid Rajaee, yang terletak lebih 1,000 kilometer di selatan ibu negara Tehran, adalah pelabuhan kontena paling moden di Iran. Ia berada 23 kilometer dari Bandar Abbas, ibu negeri Hormozgan dan terletak di utara Selat Hormuz.
Rakaman TV menunjukkan kepulan asap tebal hitam dari kawasan pelabuhan yang dipenuhi kontena.
“Empat pasukan tindak balas pantas dihantar ke lokasi selepas letupan,” kata Ketua Bulan Sabit Merah Hormozgan, Mokhtar Salahshour.
Menurut Ketua Pengurusan Krisis Wilayah, Mehrdad Hassanzadeh, punca kejadian dikenal pasti adalah letupan beberapa kontena yang disimpan di kawasan dermaga pelabuhan tersebut.
“Kami sedang memindahkan dan menghantar mangsa cedera ke pusat perubatan berhampiran", katanya.-AFP