fb fb fb fb fb

Serangan AS ke atas Sanaa ragut sekurang-kurangnya 12 nyawa

Kerosakan di Sanaa, Yaman/ AFP

SANAA, 21 April- Kementerian Kesihatan Huthi melaporkan serangan udara baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas ibu kota Yaman, Sanaa membunuh sekurang-kurangnya 12 individu dan mencederakan 30 yang lain.

Agensi berita Saba melaporkan individu yang maut dan cedera susulan serangan yang dilakukan di pasar dan zon kediaman di daerah Farwa di Sanaa.

Serbuan lain dilaporkan pada lewat Ahad di wilayah tengah Marib, Hodeida di barat dan kubu Huthi di Saada di utara, kata Saba.

Tentera AS melakukan serangan hampir setiap hari sejak sebulan lalu dan ia menyasarkan "puak Huthi yang disokong Iran" untuk menghentikan serangan ke atas perkapalan antarabangsa di Teluk.

Menurut Huthi serangan pada Khamis di pelabuhan minyak Ras Issa meragut kira-kira 80 individu dan mencederakan 150.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memaklumkan bahawa dia "sangat bimbang" dengan serangan AS. Antonio Guterres juga menyeru Huthi untuk menghentikan serangan peluru berpandu ke atas Israel dan perkapalan Teluk.

Bagaimanapun Huthi menyatakan serangan peluru berpandu sebagai solidariti dengan Hamas ketika tentera Israel terus menyerang Gaza.

Serbuan AS bermula pada Januari 2024 namun ia telah dipertingkatkan sejak Donald Trump memegang jawatan presiden tahun ini.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI