COLOMBO, 21 April- Pihak berkuasa Sri Lanka memulakan siasatan pada Ahad susulan penularan sekeping gambar di media sosial yang dikatakan memaparkan relik gigi Buddha, satu artifak suci yang kini dipamerkan bawah kawalan keselamatan ketat.
Menurut kenyataan polis, Jabatan Siasatan Jenayah telah diarahkan menyiasat kesahihan gambar yang tular itu, termasuk sama ada ia dirakam semasa pameran relik tersebut yang sedang berlangsung.
Difahamkan, sebarang bentuk fotografi adalah dilarang keras semasa sesi lawatan umum ke atas relik yang amat dihormati itu, yang kini dipamerkan buat pertama kali sejak Mac 2009.
Setiap pengunjung yang ingin memasuki kawasan suci di Kuil Gigi Buddha di bandar Kandy diwajibkan menjalani pemeriksaan rapi. Beg, bungkusan dan penggunaan telefon bimbit turut diharamkan di dalam kawasan kuil.
“Jika benar gambar itu diambil dalam kuil, ia merupakan kegagalan keselamatan yang serius,” kata seorang pegawai polis kepada AFP. Beliau bagaimanapun enggan dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
Menurut polis, pasukan penyiasat akan turut meneliti kemungkinan gambar itu diubah suai secara digital atau dirakam oleh jemaah yang melanggar larangan semasa pameran sedang berlangsung.
Pada hari pertama pameran yang hanya dibuka selama dua setengah jam itu, dianggarkan seramai 125,000 orang hadir bagi menatap relik berkenaan. Bagi hari-hari seterusnya, pameran dibuka selama lima setengah jam sehari sehingga 27 April ini.
Penganut agama Buddha di Sri Lanka percaya relik tersebut yang dikatakan berasal dari taring kiri Siddhartha Gautama bukan sahaja simbol keagamaan, malah lambang kedaulatan negara.
Limpahan pengunjung ke Kuil Gigi Buddha juga menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa di Kandy, manakala puluhan ribu lagi dilapor berkhemah semalaman demi peluang melihat relik suci tersebut.