fb fb fb fb fb

Sepanyol isytihar darurat susulan 113 kebakaran hutan

Menurut data, lebih 400,000 hektar kawasan terbakar di seluruh Sepanyol tahun ini.

MADRID, 26 Ogos - Kerajaan Sepanyol mengisytiharkan darurat perlindungan awam bagi kawasan yang terjejas akibat 113 kebakaran hutan besar sepanjang musim panas ini, yang disifatkan antara bencana alam terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan.

Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Fernando Grande-Marlaska, berkata pengisytiharan itu meliputi 16 wilayah yang terkesan sejak 23 Jun hingga 25 Ogos, selain beberapa kawasan yang dilanda ribut hujan lebat pada akhir Jun.

“Walaupun episod kecemasan ini belum berakhir, jelas kita sedang berdepan salah satu bencana alam sekitar paling besar dalam beberapa tahun,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet.

Beliau menambah, sekurang-kurangnya 15 kebakaran besar masih aktif ketika ini, sekali gus menyukarkan penilaian awal terhadap keluasan kawasan terbakar serta jumlah kerugian sebenar.

Menurut data, lebih 400,000 hektar kawasan terbakar di seluruh Sepanyol tahun ini, rekod tertinggi sejak 2006, ketika Eropah Selatan berdepan musim kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh dua dekad.

Jurucakap kerajaan, Pilar Alegria, turut mengkritik parti pembangkang kerana didakwa kerap memotong peruntukan alam sekitar, sekali gus melemahkan usaha kelestarian dalam menangani krisis iklim. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR