fb fb fb fb fb

Banjir besar Jammu dan Kashmir, puluhan rumah hanyut

Puluhan rumah musnah dilapor dihanyutkan arus deras.

DODA, 26 Ogos - Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar melanda beberapa kawasan di Jammu dan Kashmir yang ditadbir India, mengakibatkan sungai melimpah serta puluhan rumah musnah dihanyutkan arus deras.

Air Sungai Chenab dilaporkan melimpah sehingga mengancam struktur jambatan Pul Doda, manakala banyak kediaman dan bangunan sekitar turut ditenggelami. Penduduk terpaksa mengosongkan premis perniagaan serta berpindah ke kawasan lebih tinggi.

“Sebahagian besar mangsa berhampiran Sungai Chenab telah diselamatkan. Kami merayu penduduk Doda, Bhaderwah dan Kishtwar supaya tidak keluar rumah buat masa ini,” kata Timbalan Ketua Polis Doda, Ajay Anand.

Seorang penduduk tempatan, Liaquat Choudhary, pula memaklumkan sekurang-kurangnya 20 rumah telah dihanyutkan sejak semalam.

Banjir turut menjejaskan Sungai Tawi, menyebabkan kerosakan struktur serta jalan raya terputus akibat tanah runtuh dan batu jatuh.

Menurut laporan, banjir bulan ini di Jammu dan Kashmir telah meragut sekurang-kurangnya 60 nyawa, manakala di barat laut Pakistan hampir 400 dilaporkan terkorban. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR