fb fb fb fb fb

Seoul umum rancangan bayar pampasan kepada mangsa buruh paksa zaman perang Jepun

(Wanita memegang papan tanda bertulis "Membayar pampasan dan memohon maaf untuk
mangsa kerja paksa semasa perang" semasa protes anti-Jepun/Fail REUTERS)

SEOUL, 6 Mac- Korea Selatan mengumumkan rancangan memberi pampasan kepada mangsa buruh paksa Jepun semasa perang, bagi menamatkan "kitaran ganas" dalam hubungan kuasa Asia.

Kira-kira 780,000 warga Korea telah ditugaskan menjadi buruh paksa selama 35 tahun pendudukan Jepun, menurut data Seoul.

Angka itu tidak termasuk wanita yang dipaksa menjadi hamba seks tentera Jepun.

"Rancangan Seoul ialah mengambil wang daripada syarikat utama Korea Selatan yang mendapat manfaat daripada perjanjian ganti rugi 1965 dengan Tokyo, dan menggunakannya untuk membayar pampasan kepada mangsa," kata Menteri Luar Park Jin.

Perjanjian 1965 menyaksikan kedua-dua negara memulihkan hubungan diplomatik dengan pakej ganti rugi kira-kira AS$800 juta dalam bentuk geran dan pinjaman kadar rendah.

"Saya percaya bahawa lingkaran ganas harus dipecahkan demi kebajikan rakyat di peringkat kepentingan negara. Harapan kami ialah Jepun akan memaklumi secara positif keputusan utama kami hari ini dengan sumbangan sukarela syarikat Jepun dan permohonan maaf yang menyeluruh," tambah Park.

Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi mengalu-alukan rancangan baharu itu dan yakin ia akan membantu memulihkan hubungan "sihat" selepas ketegangan bertahun-tahun.

Washington pula memuji apa yang disebutnya sebagai "bab baharu kerjasama dan perkongsian antara dua sekutu terdekat Amerika Syarikat," menurut satu kenyataan White House. -AFP

(Seoul umum rancangan bayar pampasan kepada mangsa buruh paksa zaman perang Jepun)

Media Baharu