fb fb fb fb fb

Seorang warga Jepun ditahan tentera junta Myanmar

(Toru Kubota)

YANGON, 31 Julai- Seorang lelaki Jepun telah ditahan di ibu kota komersial Myanmar Yangon.

Pegawai kedutaan Jepun mengesahkan penahanan itu pada Ahad sekali gus menjadi warga asing terbaru terjerat di negara yang diperintah junta itu.

Rampasan kuasa tentera tahun lalu mencetuskan protes tanpa henti dan tindak balas maut daripada junta, dengan lebih 2,000 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 14,000 ditangkap, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Pada Sabtu, media Jepun dan tempatan berkata pembikin filem Toru Kubota, 26, ditahan berhampiran perhimpunan antikerajaan bersama dua warga Myanmar.

“Saya mengesahkan seorang warga Jepun telah ditahan semalam di Yangon,” kata seorang pegawai di kedutaan Jepun kepada AFP Ahad, meminta namanya dirahsiakan.

Kedutaan sedang "berhubung dengan pihak berkuasa dan mengambil langkah untuk memastikan pembebasan mereka".

Pegawai Jepun itu, berkata mereka tidak mempunyai maklumat sama ada dia ditahan semasa protes.

Sementara itu, cubaan untuk mendapatkan reaksi jurucakap junta, gagal.

Sekumpulan kecil orang ramai berhimpun di luar kementerian luar Jepun di Tokyo pada hari Ahad, memegang sepanduk Kubota.

Beberapa warga asing telah ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap perbezaan pendapat sejak pemberontakan di negara itu.

Tahun lalu pembikin filem Jepun Yuki Kitazumi telah ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar semasa membuat liputan selepas rampasan kuasa itu.

Bagaimanapun dia dibebaskan setelah mendapat tekanan antarabangs dan kembali ke Jepun pada Mei 2021.

Kitazumi melahirkan rasa terkejut dengan penahanan Kubota, dan berkata dia berharap dia akan dibebaskan "segera".

“Dia seorang juruvideo dokumentari dan tiada sebab untuk dia ditangkap jika dia sedang mengumpul bahan,” katanya.

Junta Myanmar telah menyekat kebebasan akhbar, menangkap wartawan dan jurugambar, serta membatalkan lesen penyiaran.

Sehingga Mac tahun ini, 48 wartawan kekal dalam tahanan di seluruh negara, menurut kumpulan pemantau Reporting ASEAN.- AFP


(Sekumpulan kecil orang ramai berhimpun di luar kementerian luar Jepun di Tokyo
pada hari Ahad, memegang sepanduk menuntut pembebasan Kubota / AFP)

Media Baharu