MAKASSAR, 8 Jun- Seorang wanita ditemukan maut selepas ditelan ular sawa, kata seorang pegawai tempatan pada Sabtu.
Farida berusia 45 tahun ditemukan penduduk kampung Kalempang di wilayah Sulawesi Selatan berada di dalam perut ular sawa yang berukuran kira-kira lima meter (16 kaki).
Ibu kepada empat anak itu hilang pada malam Khamis dan gagal pulang ke rumah. Perkara itu memaksa usaha mencari dilaksanakan, kata ketua kampung Suardi Rosi kepada AFP.
Suaminya "menjumpai barang-barangnya... yang membuatkan dia curiga. Penduduk kampung kemudian menggeledah kawasan itu. Tidak lama kemudian mereka ternampak seekor ular sawa dengan perut yang besar," kata Suardi.
"Mereka bersetuju untuk memotong perut ular sawa itu. Sebaik sahaja mereka melakukannya, kepala Farida kelihatan."
Farida ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap di dalam perut ular sawa itu.
Tahun lepas, penduduk di daerah Tinanggea, Sulawesi Tenggara membunuh seekor ular sawa sepanjang lapan meter, yang ditemui menelan salah seorang petani di sebuah kampung.
Sementara itu, pada 2018, seorang wanita berusia 54 tahun di bandar Muna, Sulawesi Tenggara ditemukan maut selepas ditelan ular sawa sepanjang tujuh meter.
Dan pada 2017, seorang petani di Sulawesi Barat hilang sebelum ditemui ditelan hidup-hidup ular sawa sepanjang empat meter di sebuah ladang kelapa sawit.- AFP