WASHINGTON, 8 Jun- William Anders, bekas angkasawan Amerika Syarikat yang mengambil gambar "Earthrise" dari angkasa lepas lebih 55 tahun lalu, meninggal dunia dalam nahas pesawat pada Jumaat kata keluarganya.
Anders, 90 tahun memandu sebuah pesawat kecil dan terhempas di pantai negeri Washington pada pagi Jumaat, kata anak lelakinya kepada media Amerika Syarikat.
Ketika kejadian, Anders bersendirian di dalam pesawat berkenaan.
Mayatnya kemudian ditemukan pasukan penyelam, lapor The Seattle Times yang memetik jurucakap Pengawal Pantai.
Seorang ahli misi Apollo 8 pada Disember 1968, Anders merupakan salah satu manusia pertama yang mengelilingi Bulan, bersama-sama dengan rakan Amerika Syarikat yang lain iaitu Frank Borman dan James Lovell.
Beliau mengelilingi bulan sebanyak 10 kali tanpa mendarat, sebelum berjaya kembali ke Bumi pada 27 Disember 1968.
Pada salah satu orbit bulan, Anders berjaya merakam foto dengan permukaan kawah Bulan.
"Kedudukan kami tidak terumbang-ambing menyukarkan kami melihat Bumi atau Matahari, itu adalah kali pertama kami melihat 'Earthrise'," katanya dalam temu bual dengan NASA pada 1997.
Foto "Earthrise" sering disenaraikan dalam pengumpulan imej sejarah penting, dan disertakan dalam buku Life Magazine '100 Photographs that Changed The World.'
Versi asal foto itu dijual di lelongan Copenhagen pada 2022 dengan harga 11,800 euro.- AFP