KULLU, INDIA, 4 September - Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut manakala enam lagi dikhuatiri masih terperangkap selepas tanah runtuh melanda daerah Kullu di negeri Himachal Pradesh, India pada Khamis.
Menurut pegawai tempatan, tiga mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital, namun operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran berikutan cuaca buruk.
India dan Pakistan kini berdepan hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir di kawasan perumahan serta lebuh raya, selain limpahan beberapa sungai utama.
Jabatan Meteorologi India menjangkakan hujan reda menjelang malam ini, sementara Pakistan memberi amaran cuaca buruk dijangka berlanjutan hingga 9 September.
Sejak Ogos, hampir 150 nyawa terkorban di India akibat monsun, manakala di Pakistan jumlah korban sepanjang musim ini mencecah 880 orang.
Pihak berkuasa menyifatkan hujan luar biasa dan pencairan glasier sebagai punca utama banjir kilat di India, Pakistan dan Nepal.
Pegawai kerajaan menyifatkan fenomena itu sebagai kesan perubahan iklim yang semakin ketara. - REUTERS