MOSCOW, 24 Ogos - Sekurang-kurangnya seorang maut apabila sebuah silinder gas meletup di sebuah gedung permainan ikonik di Moscow pada Ahad, lapor agensi berita tempatan.
Letupan berlaku di Central Children’s Store, yang lebih dikenali rakyat Rusia sebagai gedung permainan "Detsky Mir", terletak di Dataran Lubyanka berhampiran ibu pejabat Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), pengganti utama KGB era Soviet.
“Dukacita dimaklumkan, berdasarkan maklumat awal, insiden ini mengorbankan seorang mangsa dan turut mencederakan beberapa individu,” kata Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin.
Bangunan gedung permainan itu, yang turut menempatkan beberapa restoran, kedai serta pawagam, telah dikosongkan, menurut laporan media Rusia.
Saluran Telegram Mash pula melaporkan letupan berpunca daripada sebuah kanister helium.-REUTERS