fb fb fb fb fb

Gelombang haba di Sepanyol, paling teruk pernah direkodkan

Foto AFP

MADRID, 24 Ogos- Gelombang haba selama 16 hari yang melanda Sepanyol sejak awal Ogos, disahkan sebagai yang paling teruk pernah direkodkan.

Menurut Agensi Meteorologi Negara (AEMET) pada Ahad, bacaan sementara bagi tempoh 3 hingga 18 Ogos menunjukkan suhu purata 4.6 darjah Celsius lebih tinggi berbanding fenomena terdahulu, sekali gus mengatasi rekod pada Julai 2022.

Gelombang haba tersebut memburukkan lagi keadaan kering di Sepanyol, apabila menjadi antara faktor mendorong kebakaran hutan berterusan di negara itu.

Sementara itu, menurut Institut Kesihatan Carlos III, lebih 1,100 kematian di Sepanyol dikaitkan dengan gelombang haba, berdasarkan anggaran yang dikeluarkan pada Selasa lalu.

Sejak 1975, AEMET telah mengenal pasti sebanyak 77 gelombang haba di negara itu, dengan enam daripadanya mencatatkan suhu melebihi purata sehingga 4 darjah Celsius, lima daripadanya berlaku selepas 2019.

Saintis menyatakan perubahan iklim menjadi pendorong kepada kejadian gelombang haba yang semakin panjang, kerap dan lebih teruk di seluruh dunia.

AEMET turut mendedahkan bahawa tempoh 10 hari sepanjang gelombang haba kali ini, antara 8 hingga 17 Ogos, merupakan 10 hari berturut-turut paling panas pernah direkodkan di Sepanyol sejak sekurang-kurangnya 1950. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM