fb fb fb fb fb

Presiden Korea Selatan ke Washington, pertemuan pertama dengan Trump

Foto Reuters

SEOUL, 24 Ogos- Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung berlepas ke Washington pada Ahad selepas mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di Tokyo.

Lee dijadualkan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House pada Isnin bagi sidang kemuncak pertama mereka.

Menurut pegawai dan penganalisis, perbincangan itu dijangka memberi tumpuan terhadap masa depan hubungan pakatan Korea Selatan-AS serta pendekatan terhadap Korea Utara yang memiliki senjata nuklear, selepas Seoul diketepikan daripada rundingan perdagangan intensif bulan lalu yang berakhir dengan perjanjian tidak bertulis.

Satu isu yang dijangka menjadi cabaran buat Lee adalah desakan Trump supaya Seoul membayar lebih tinggi bagi menampung kos penempatan kira-kira 28,500 tentera AS di Korea Selatan, yang berpunca daripada legasi Perang Korea 1950-1953.

Dalam lawatan rasmi pertamanya ke Jepun sejak Jun lalu, Lee mengadakan pertemuan sulung dengan Ishiba di kediaman rasmi Perdana Menteri Jepun pada Sabtu untuk membincangkan hubungan dua hala.

Ini termasuk kerjasama keselamatan bersama Amerika Syarikat (AS) di bawah pakatan tiga hala yang ditandatangani pemimpin terdahulu.

Selain itu, Jepun dan Korea Selatan turut mencapai kata sepakat dalam isu perdagangan, dengan kedua-duanya bersetuju mengenakan tarif sebanyak 15 peratus ke atas import barangan dari AS selepas Trump sebelum ini mengugut untuk mengenakan duti lebih tinggi. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM