fb fb fb fb fb

Tiga bekas presiden Sri Lanka kecam pemenjaraan Wickremesinghe

Bekas Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe dibawa menaiki bas penjara di Colombo pada 22 Ogos 2025 selepas mahkamah memerintah beliau direman sehingga 26 Ogos berhubung dakwaan penyalahgunaan dana negara untuk perjalanan ke Britain pada 2023. Foto- AFP

COLOMBO, 24 Ogos - Tiga bekas presiden Sri Lanka menyatakan solidariti dengan bekas pemimpin negara itu, Ranil Wickremesinghe, dan mengecam penahanannya sebagai satu serangan terancang terhadap demokrasi.

Wickremesinghe, 76, dituduh menggunakan AS$55,000 dana negara untuk persinggahan di Britain ketika pulang dari Sidang Kemuncak G77 di Havana dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 2023.

Beliau kini dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di Colombo akibat dehidrasi teruk, kencing manis akut dan tekanan darah tinggi, sehari selepas diperintah reman.

Bekas presiden Chandrika Kumaratunga, Mahinda Rajapaksa dan Maithripala Sirisena masing-masing menegaskan penahanan itu bermotif politik dan boleh menjejaskan demokrasi negara.

United National Party (UNP) yang dipimpin Wickremesinghe sebelum ini pula mendakwa tindakan itu berpunca daripada kebimbangan kerajaan terhadap kemungkinan Wickremesinghe membuat kemunculan semula dalam politik.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN