fb fb fb fb fb

Senator sebagai PM sementara Pakistan sehingga pilihan raya

ISLAMABAD, 12 Ogos- Senator dari Wilayah Balochistan Anwaar-ul-Haq Kakar akan menjadi Perdana Menteri sementara Pakistan. Ia bagi memastikan negara itu melalui pilihan raya akan datang, kata ketua pembangkang pada Sabtu.

Kakar dinamakan oleh Ketua Pembangkang Raja Riaz Ahmad selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

“Kami bersetuju jawatan perdana menteri perlu diisi oleh seseorang daripada wilayah kecil bagi menangani rungutan dari kawasan tersebut,” kata Riaz.

Kakar akan memimpin Pakistan melalui pilihan raya umum dan wilayah menjelang November. Bagaimanapun menurut beberapa orang pegawai ia akan ditangguhkan sehingga tahun depan.

Negara itu dilanda pergolakan politik sejak Imran Khan dipecat sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya pada April 2022. Beliau dipenjarakan pada hujung minggu lalu selama tiga tahun kerana rasuah.

Pihak berkuasa bertindak keras terhadap parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Parlimen secara rasmi dibubarkan pada Rabu dan mengikut perlembagaan, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 90 hari.

Bagaimanapun terdapat spekulasi berkenaan pilihan raya akan ditangguhkan bagi menstabilkan negara yang menghadapi krisis keselamatan, ekonomi dan politik.

Suruhanjaya pilihan raya memerlukan masa untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.- AFP

(Anwaar-ul-Haq Kakar/AFP)

Media Baharu