fb fb fb fb fb

Senat AS ambil langkah pertama salur terus bantuan ketenteraan ke Taiwan

(Nancy Pelosi/AFP)

WASHINGTON, 15 September- Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat mengambil langkah pertama ke arah penyaluran terus bantuan ketenteraan bernilai berbilion Dolar kepada Taiwan dan menjadikan hubungan antara kedua-dua pihak lebih rasmi.

Dengan sokongan daripada kedua-dua pihak, Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat meluluskan Akta Dasar Taiwan, yang ditakrifkan sebagai peningkatan hubungan yang paling menyeluruh sejak AS menukar pengiktirafan dari Taipei ke Beijing pada 1979.

Penggubal undang-undang meneruskan tindakan itu di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak bagi Taiwan selepas Rusia menyerang Ukraine.

Ini ditambah lagi dengan lawatan Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi ke Taipei, yang mendorong China mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran yang dilihat sebagai persediaan untuk melancar pencerobohan.

(Senator Bob Menendez/AFP)

Senator Bob Menendez, ahli Parti Demokratik Biden yang mengetuai jawatankuasa itu, berkata Amerika Syarikat "tidak mahu berperang atau meningkatkan ketegangan dengan Beijing" tetapi perlu "berhati-hati."

"Kami berhati-hati dan secara strategik meredakan ancaman yang dihadapi Taiwan dengan menaikkan kos merampas pulau itu secara paksa supaya ia menjadi terlalu berisiko tinggi dan tidak dapat dicapai," kata Menendez.

Senator Jim Risch, anggota tertinggi Republikan dalam jawatankuasa itu, berkata adalah "penting kita mengambil tindakan sekarang untuk memperkukuh pertahanan diri Taiwan sebelum terlambat."

Rang undang-undang itu seterusnya perlu mendapatkan kelulusan Senat.

Amerika Syarikat telah menjual senjata kepada Taiwan selama beberapa dekad.

Undang-undang baharu itu akan menyediakan bantuan keselamatan sebanyak AS$4.5 bilion dalam tempoh empat tahun, satu langkah yang pasti akan menimbulkan kemarahan Beijing. -AFP

Media Baharu