fb fb fb fb fb

Kebakaran maut: Pemilik blok pangsapuri & 7 pegawai dipenjara

FOTO FAIL AFP

HANOI, 14 Mac- Lapan individu dijatuhi hukuman penjara pada Jumaat berhubung kebakaran yang memusnahkan sebuah blok pangsapuri di Hanoi pada 2023, mengorbankan 56 nyawa dalam tragedi kebakaran paling buruk di Vietnam dalam tempoh dua dekad.

Bangunan sembilan tingkat itu hanya mempunyai satu pintu keluar dan tiada tangga kecemasan di bahagian luar, menyebabkan penduduk serta jiran tetangga mendengar jeritan mangsa yang berusaha melarikan diri melalui tingkap yang dipasangkan jeriji.

Pemilik bangunan tersebut, Nghiem Quang Minh, didapati bersalah melanggar peraturan pencegahan kebakaran dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun. Mahkamah Hanoi menyatakan tindakan Minh sebagai amat berbahaya kerana menyebabkan kesan amat serius ke atas nyawa manusia serta kerosakan harta benda.

Tujuh pegawai tempatan turut dikenakan hukuman penjara antara 30 bulan hingga tujuh tahun atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan akibat serius selepas gagal melaporkan pelanggaran yang dilakukan oleh pemilik bangunan berkenaan.

Mahkamah turut mendedahkan bahawa satu daripada empat sisi bangunan itu tidak mempunyai tingkap, manakala satu lagi hanya dilengkapi lubang pengudaraan kecil.

"Antara mangsa yang maut dan cedera termasuk beberapa kanak-kanak serta ahli keluarga yang sama, menyebabkan kesedihan yang mendalam," menurut keputusan mahkamah.

Kebakaran tragis pada September 2023 itu mencetuskan kebimbangan meluas berhubung keselamatan kebakaran di bangunan tinggi di Vietnam, dengan pihak berkuasa berjanji akan memperketatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan insiden serupa berulang.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE