fb fb fb fb fb

Iran kecam hipokrasi Amerika Syarikat kenakan sekatan baharu

FOTO REUTERS

TEHRAN, 14 Mac- Iran hari ini mengkritik tindakan Amerika Syarikat yang disifatkan sebagai "hipokrasi" susulan pengumuman sekatan baharu terhadap Menteri Minyaknya, Mohsen Paknejad.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, langkah itu membuktikan sikap hipokrasi Amerika Syarikat yang sebelum ini beberapa kali menyatakan hasrat untuk mengadakan rundingan nuklear dengan Tehran.

"Sekatan ini merupakan bukti jelas tentang kepalsuan kenyataan mereka dan satu lagi tanda permusuhan terhadap pembangunan Iran," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat mendakwa Iran terus menggunakan hasil sumber minyak negara itu untuk kepentingan sempit dan membimbangkan, sekali gus mengabaikan kebajikan rakyat Iran.

Selain itu, sekatan tersebut turut mengenakan tindakan ke atas tiga entiti yang terlibat dalam perdagangan minyak Iran di China serta menyenaraikan tiga kapal pengangkut sebagai aset yang disekat kerana digunakan dalam transaksi tersebut.

"Entiti ini menyediakan perkhidmatan kepada kapal hantu, membolehkan Iran menyembunyikan perdagangan minyak haramnya," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tammy Bruce.

Sekatan terbaharu ini dibuat selepas pentadbiran Trump menghantar surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menggesa rundingan dan memberi amaran mengenai tindakan ketenteraan jika Tehran enggan berunding.

Menurut Baqaei, Iran akan membuat "penilaian menyeluruh" sebelum memberikan maklum balas terhadap surat yang disampaikan oleh seorang diplomat kanan Emiriah Arab Bersatu pada Rabu lalu.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE