fb fb fb fb fb

AS, Israel bincang penempatan semula Palestin di Afrika Timur

FOTO AFP

WASHINGTON, 14 Mac- Amerika Syarikat (AS) dan Israel dilaporkan menghubungi pegawai dari tiga negara Afrika Timur bagi membincangkan cadangan untuk menggunakan wilayah mereka sebagai lokasi penempatan semula penduduk Palestin dari Gaza.

Menurut laporan Associated Press (AP) yang memetik pegawai AS dan Israel, negara yang dihubungi termasuk Sudan, Somalia, dan wilayah autonomi Somaliland.

Bagaimanapun, pegawai Sudan menolak cadangan tersebut, manakala pegawai Somalia dan Somaliland memaklumkan mereka tidak mengetahui sebarang perbincangan berkaitan.

Setakat ini, White House dan Jabatan Negara AS belum memberi sebarang maklum balas kepada permintaan Reuters untuk mengulas. Usaha Reuters untuk mendapatkan komen daripada menteri maklumat Somalia dan Somaliland juga tidak berjaya.

Awal bulan ini, pemimpin-pemimpin Arab telah meluluskan pelan pemulihan Gaza bernilai AS$53 bilion yang dikemukakan Mesir, bertujuan membangunkan semula wilayah itu tanpa memindahkan penduduk Palestin keluar daripada Gaza, bercanggah dengan visi "Middle East Riviera" yang dicadangkan Presiden AS, Donald Trump.

Trump sebelum ini mencadangkan agar AS mengambil alih Gaza untuk membangunkannya semula selepas serangan Israel selama 17 bulan telah meragut puluhan ribu nyawa, selain mengusulkan penempatan kekal Palestin di luar Gaza.

Cadangan Trump itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk Palestin bahawa mereka akan dipaksa meninggalkan tanah air mereka secara kekal, serta menerima kecaman meluas di peringkat antarabangsa.

Serangan Israel ke atas Gaza bermula selepas serangan lintas sempadan oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas, ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE