fb fb fb fb fb

Pempengaruh AS cetus kontroversi di Australia selepas pegang anak wombat

Tangkap layar video pempengaruh Amerika Syarikat, Sam Jones yang menunjukkan wanita itu mengangkat anak wombat

SYDNEY, 14 Mac- Seorang pempengaruh Amerika Syarikat mencetuskan kemarahan meluas selepas memuat naik video dirinya memegang seekor anak wombat, kini telah meninggalkan Australia.

Sam Jones, yang menggelarkan dirinya sebagai "peminat aktiviti luar dan pemburu", berkongsi video yang kini telah dipadam kepada 92,000 pengikut Instagramnya dari lokasi yang tidak diketahui di Australia.

Rakaman itu memaparkan Jones mengangkat anak wombat dari tepi jalan walaupun haiwan itu jelas bergelut dan mengeluarkan bunyi marah, sementara ibunya yang ketakutan berlari mengikut rapat. Jones kemudian meletakkan semula anak wombat tersebut.

Wombat, marsupial yang hanya ditemui di Australia, adalah spesies yang dilindungi.

Menurut sumber yang enggan dinamakan, Jones telah meninggalkan Australia sehari selepas Kementerian Dalam Negeri menyatakan mereka sedang menyemak sama ada tindakan Jones melanggar syarat visanya.

"Hari ini mungkin hari terbaik untuk menjadi seekor anak wombat di Australia," kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tony Burke dalam satu kenyataan pada Jumaat. Tiada petunjuk bahawa Jones telah diusir.

Tindakan Jones turut mendapat kecaman daripada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

"Mengambil anak wombat daripada ibunya, jelas menyebabkan tekanan kepada si ibu, adalah sesuatu yang keterlaluan," katanya dalam sidang media pada Khamis malam.

"Saya cadangkan kepada individu yang menggelar dirinya pempengaruh ini, mungkin dia boleh mencuba haiwan Australia yang lain. Cuba ambil anak buaya daripada ibunya dan lihat bagaimana hasilnya," sindir Albanese.

Cubaan untuk mendapatkan komen daripada Jones tidak berjaya. Akaun Instagram beliau kini ditetapkan kepada mod peribadi.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE