VALENCIA, 24 Februari - Sekurang-kurangnya sembilan terbunuh dalam kebakaran besar yang melanda sebuah blok apartmen di daerah mewah di bandar ketiga terbesar Sepanyol, Valencia, kata pihak berkuasa pada Jumaat.
Tiupan angin kencang menyebabkan api menyambar blok apartmen dalam tempoh setengah jam pada petang Khamis kata saksi yang terselamat.
Menurut salah seorang saksi, Jose Carlos Perez, 53 tahun memberitahu Reuters dia sempat menyelamatkan beberapa barangan sebelum bergegas keluar dari kediamannya selepas melihat kepulan asap di luar tingkapnya.
Anggota bomba dilihat bekerja di blok apartmen yang hangus pada Jumaat mencari mayat atau mangsa yang terselamat.
Sementara itu, Datuk Bandar Valencia Maria Jose Catala berkata pada setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung mangsa yang hilang pada hari kejadian.
Pihak polis dalam satu kenyataan menerusi aplikasi soisal X mengesahkan pihaknya telah mengenal pasti terdapat sembilan mangsa yang maut dalam kebakaran berkenaan.
Penduduk Valencia pula berpusu-pusu menyumbangkan pakaian, ubat-ubatan dan mainan untuk penduduk yang terselamat yang kehilangan semua barangan mereka dalam kebakaran.-REUTERS