FOTO AFP
LIMA, 8 Januari- Sekurangnya-kurangnya sembilan orang cedera dan beberapa kediaman rosak apabila gempa bumi berukuran 5.6 pada skala richter menggegarkan ibu negara Peru.
Menurut Institut Geofizik Peru (IGP), gempa itu berlaku pada 5.27 pagi Jumaat berpusat di 19 kilometer timur laut Lima di kedalaman 116 kilometer.
Pihak berkuasa pertahanan awam melaporkan sembilan orang cedera, termasuk seorang parah manakala 3 buah kediaman rosak di San Juan de Lurigancho dan Ate di timur Lima.
Lebuh raya utama menghubungkan pusat bandar Peru turut terhalang akibat tanah runtuh.
“Terima kasih, kami belum menerima laporan kematian, kata Penyelaras Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan, Rolando Capucho kepada saluran televisyen N.
Seorang lelaki, Jeison Arapa, 28 tahun dilaporkan cedera apabila dia terjatuh dari tingkat tiga rumahnya ketika cuba menyelamatkan diri, kata petugas perkhidmatan awam.
Menurut Pengarah IGP, Hernando Tavera gegaran kuat dirasai disebabkan kedalaman pusat gempa.
“Mungkin gempa bermagnitud sederhana di kawasan tinggi menyebabkan runtuhan batu dan tanah runtuh di jalan raya serta lembah, malah berkemungkinan merosakkan kediaman,” katanya dalam satu kenyataan di laman web institut itu.
Presiden Pedro Castillo menerusi twitternya menasihatkan penduduk bertenang, namun bersedia menghadapi sebarang gempa susulan.
November lalu, gempa 7.5 pada skala richter menggegar utara Peru, memusnahkan 117 buah kediaman serta menyebabkan 12 orang cedera dan lebih 2,000 kediaman mengalami kerosakan.
Peru mengalami sekurang-kurangnya 400 gempa yang boleh dirasai setiap tahun. - AFP