FOTO AFP
Washington, 8 Januari- Bank Dunia meluluskan pembiayaan tambahan AS$90 juta kepada Iran bagi membantu negara itu menangani pandemik COVID-19.
Jurucakap Bank Dunia berkata, lembaga pengarah pemberi pinjaman yang berpangkalan di Washington telah meluluskan bantuan pembangunan tersebut pada 21 Disember lalu.
"Pembiayaan itu hanya akan digunakan untuk mendapatkan peralatan perubatan penting bagi menyelamatkan nyawa dan meningkatkan usaha tindak balas menangani pandemik di Iran.
“Pembiayaan itu juga tidak akan dimasukkkan dalam ]bajet Iran dan semua hasil pinjaman, perolehan dan pengeluaran, diuruskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia," kata jurucakap itu.
Pada Mei 2020, Bank Dunia meluluskan pinjaman AS$50 juta melalui Projek Tindak Balas Kecemasan COVID-19 Iran, yang dilakukan "secara luar biasa" disebabkan wabak tersebut.
Jurucakap itu menyifatkan Iran sebagai pusat wabak merebak di rantau itu dan berkata usaha menghentikan virus akan memberi faedah kepada negara jiran, terutamanya penularan varian Omicron yang boleh menyebabkan gelombang baharu kes COVID-19.
Berdasarkan data Universiti Johns Hopkins, setakat ini kes COVID-19 di Iran telah menyebabkan hampir 132,000 kematian dan lebih 6.2 juta kes positif direkodkan. -AFP