CULIACÁN, 8 April- Sekurang-kurangnya sembilan terkorban dalam nahas serangan sebuah kumpulan bersenjata di Sinaloa, Mexico pada awal pagi Isnin.
Insiden itu berlaku di sebuah pusat pemulihan dadah di kawasan tersebut selain mencederakan beberapa yang lain, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Serangan yang berlaku di ibu negeri Culiacán itu merupakan insiden ketujuh seumpamanya sejak September lalu.
Pihak berkuasa percaya kartel dadah menyasarkan pusat rawatan ketagihan sebagai lokasi merekrut anggota baharu secara paksa, dengan pesakit yang enggan bekerjasama akan dibunuh.
Menurut laporan kerajaan, penyerang memecah masuk ke premis pusat rawatan sebelum melepaskan tembakan rambang, menyebabkan lapan maut di tempat kejadian manakala enam lagi cedera.
Salah seorang daripada yang tercedera dilapor, meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Berdasarkan data rasmi, keganasan berkaitan kartel di Sinaloa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 750 orang manakala 900 lagi dilaporkan hilang, tahun ini.
Kartel Sinaloa, antara sindiket jenayah paling berkuasa di Mexico, diasaskan pada 1980-an oleh raja dadah terkenal Joaquin “El Chapo” Guzman dan Ismael “El Mayo” Zambada.
El Mayo ditahan di Texas pada Julai lalu dan kini menunggu perbicaraan di New York atas tuduhan penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan konspirasi membunuh.
Penyokong El Mayo menuduh anak-anak El Chapo, dikenali sebagai “Chapitos”, bertanggungjawab atas penahanan beliau oleh pihak berkuasa AS.
Laporan Insight Crime pada 2021 mendapati kumpulan jenayah terancang telah menyusup masuk dan mengawal sebahagian pusat pemulihan di Mexico, baik yang berdaftar mahupun yang beroperasi secara haram sebagai tempat untuk 'menghilangkan' individu serta merekrut mata-mata, pembunuh upahan dan pengedar dadah.
Sejak kerajaan mengisytiharkan perang terhadap kartel pada tahun 2006, lebih 480,000 nyawa telah terkorban manakala sekitar 124,000 orang masih hilang.
Kerajaan Presiden Claudia Sheinbaum berikrar untuk menurunkan kadar keganasan menerusi pengukuhan Pasukan Pengawal Kebangsaan, risikan serta penyiasatan, di samping menanganinya dari akar umbi termasuk kemiskinan dan peminggiran masyarakat.- AFP