MANILA, 8 April- Gunung berapi Kanlaon di tengah Filipina meletus pada pagi Selasa, memuntahkan debu tebal setinggi kira-kira 4,000 meter.
Menurut kenyataan Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), tahap amaran tiga masih berkuat kuasa ke atas gunung berapi tersebut sejak Disember 2024, susulan satu letusan yang terdahulu.
Letusan kali ini dikategori dalam skala lima, menandakan risiko tinggi berlakunya aliran lava serta potensi letusan berbahaya dalam beberapa minggu akan datang.
Gunung Kanlaon, yang terletak di sempadan wilayah Negros Occidental dan Negros Oriental, adalah salah satu daripada kira-kira puluhan gunung berapi aktif di Filipina.
Pengarah Phivolcs, Teresito Bacolcol berkata kepada stesen radio DWPM bahawa tahap amaran berkemungkinan dinaikkan atau diturunkan dalam beberapa hari akan datang, bergantung kepada kelajuan pergerakan magma ke permukaan.
Menurutnya, jika magma naik dengan cepat, ia boleh mencetuskan letusan yang lebih kuat dan menyebabkan peningkatan ke tahap amaran empat.
Namun, jika pergerakan magma perlahan atau terhenti, tahap amaran boleh diturunkan ke tahap dua.
Filipina terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang sering dilanda gempa bumi dan aktiviti gunung berapi.- REUTERS