fb fb fb fb fb

Enggan padam kandungan antikerajaan, Telegram didenda 7 juta ruble

Foto Reuters

MOSCOW, 8 April – Sebuah mahkamah di Moscow telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak 7 juta ruble (sekitar AS$80,000) ke atas aplikasi Telegram kerana gagal memadam kandungan yang didakwa mengandungi seruan untuk aktiviti ekstremis dan usaha menggulingkan kerajaan Rusia.

Menurut laporan agensi berita TASS yang memetik dokumen mahkamah, Telegram Messenger Inc. sebagai pemilik platform tersebut didapati tidak mengambil tindakan terhadap saluran atau maklumat yang mengandungi seruan kepada aktiviti pengganas dan protes antikerajaan.

Beberapa saluran yang disenaraikan dalam dokumen itu turut dikatakan menggalakkan penyertaan dalam protes yang bertujuan menggulingkan kerajaan Rusia serta menghasut serangan pengganas ke atas pengangkutan kereta api, dipercayai bagi membantu tentera Ukraine.

Telegram, sebuah platform pemesejan segera dan media sosial yang berpangkalan di Dubai, belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada Reuters pada waktu luar operasi.

Diasaskan oleh warga kelahiran Rusia, Pavel Durov, Telegram kini memiliki hampir satu bilion pengguna dan digunakan secara meluas di Rusia, Ukraine, serta negara-negara bekas Kesatuan Soviet.

Durov kembali ke Dubai pada Mac lalu selepas beberapa bulan menetap di Perancis susulan penahanannya pada Ogos 2024.

Beliau disiasat atas pelbagai tuduhan jenayah termasuk penipuan, pengubahan wang haram, serta penyebaran imej penderaan seksual kanak-kanak melalui platform tersebut.

Kes tersebut menambah tekanan terhadap Telegram yang sejak sekian lama menjadi perhatian pihak berkuasa Rusia berhubung isu kandungan dan kawalan maklumat dalam talian.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN