WASHINGTON, 8 April – Negara-negara yang mahu mengelak daripada dikenakan kadar tarif balas yang tinggi oleh Amerika Syarikat (AS) digesa mengemukakan tawaran potongan tarif kepada Presiden Donald Trump, kata Penasihat Ekonomi White House, Dr. Stephen Miran.
Beliau berkata, Trump akan mengalu-alukan sebarang langkah untuk mengurangkan halangan terhadap eksport AS, termasuk dalam sektor perkhidmatan yang kini menjadi kelebihan utama negara itu.
"AS mempunyai kekuatan dalam sektor perkhidmatan, namun imbangan semasa menunjukkan tumpuan yang keterlaluan terhadap sektor pembuatan," katanya dalam satu majlis anjuran Hudson Institute, pada Isnin.
Mengulas laporan mengenai pelantikan Setiausaha Scott Bessent sebagai ketua rundingan dengan Jepun, Miran bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada perjanjian dapat dimuktamadkan sebelum tarif baharu berkuat kuasa pada 9 April.
“Terdapat pelbagai ruang untuk penambahbaikan, tetapi akhirnya presidenlah yang membuat keputusan,” ujarnya sambil menyebut kejayaan Trump sebelum ini dalam perjanjian dengan China sebagai contoh.
Miran juga mengulas kenyataan beberapa anggota pentadbiran, termasuk Penasihat Perdagangan Peter Navarro, yang menyatakan bahawa proses sedia ada “bukan satu rundingan.” Namun, beliau meredakan perbezaan itu sebagai perkara biasa dalam perbincangan dasar.
“Ada naratif bercanggah kerana semua orang ada pandangan masing-masing. Perbezaan pendapat itu penting bagi memperkukuh hujah,” jelas beliau.
Ketika bercakap kepada media selepas acara tersebut, Miran turut menyatakan proses penyesuaian ekonomi akan mengambil masa dan enggan memberikan jangkaan khusus.
Menurutnya, banyak lagi dasar seperti nyahkawalseliaan dan pemotongan cukai masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
“Pentadbiran ini telah mencatat kemajuan besar dalam tempoh beberapa bulan pertama, namun realitinya, masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Proses penggubalan peraturan perlu mematuhi pelbagai undang-undang dan itu memerlukan masa,” katanya.-REUTERS