fb fb fb fb fb

Bolsonaro nafi tuduhan kudeta, himpun ribuan penyokong di Sao Paulo

Foto AFP

SAO PAULO, 7 April- Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mengumpulkan puluhan ribu penyokong di Sao Paulo pada Ahad bagi membantah tuduhan Mahkamah Agung yang mendakwanya merancang rampasan kuasa selepas kalah dalam pilihan raya 2022.

"Apa yang mereka mahukan sebenarnya bukan sekadar memenjarakan saya, tetapi membunuh saya, kerana saya duri dalam daging mereka," kata Bolsonaro merujuk kepada para hakim yang didakwanya memangsakan beliau.

Perhimpunan yang berlangsung di Avenida Paulista, pusat kewangan utama Brazil, menarik kehadiran kira-kira 45,000 orang, menurut anggaran Universiti Sao Paulo.

Ramai peserta berpakaian jersi bola sepak kebangsaan Brazil, simbol sokongan kepada pemimpin berhaluan kanan itu.

Tuntutan utama Bolsonaro adalah pengampunan terhadap individu yang disabitkan kesalahan dalam insiden serangan 8 Januari 2023 di ibu negara, Brasilia.

Ketika itu, ribuan penyokongnya menyerbu istana presiden, bangunan Kongres dan Mahkamah Agung, mendesak tentera menggulingkan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva yang menang tipis dalam pilihan raya.

Mahkamah Agung Brazil bulan lalu memutuskan bahawa Bolsonaro akan diadili atas tuduhan merancang rampasan kuasa selepas pilihan raya berkenaan, satu kes yang boleh menghancurkan harapannya untuk kembali ke pentas politik seperti mana kebangkitan semula Donald Trump di AS.

Jika diteruskan, ia akan menjadi perbicaraan pertama terhadap bekas pemimpin Brazil yang dituduh cuba mengambil alih kuasa secara paksa sejak negara itu kembali kepada demokrasi pada 1985, dua dekad selepas pemerintahan tentera.

Bolsonaro bagaimanapun menafikan semua tuduhan tersebut.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM